Sunday, September 4, 2016

Dia

Aku kenal dia 6 tahun lepas. Masa tu aku baru lepas kecewa ditinggalkan orang yang aku sayang. Perit, sedih semua bercampur-baur. Dia hadir hanyalah sebagai seorang rakan sekerja. Masih aku ingat lagi pertama kali dia ajak aku sarapan bersama dan aku tolak. Kenapa? Kerana aku gadis yang sangat susah untuk berkawan dengan lelaki ketika itu. Kawan lelaki yang aku kenal boleh dikira dengan jari.

Tapi, sedikit demi sedikit aku cuba beranikan diri untuk berkawan. Tambahan pula masa tu semua rakan sekerja adalah lelaki. Suka atau tidak aku perlu mencuba. Dia. Aku tidak sedar bila masa aku mulai sukakan dia. Mungkin kerana sikapnya dan gayanya yang bersahaja buat aku selesa.

Aku sempat mengenali dia tak lama. Dua minggu kami bekerja bersama sebelum aku ditukarkan ke shif lain. Dua bulan aku bekerja di situ, aku terpaksa berhenti untuk melanjutkan pelajaran. Aku ingat lagi hari terakhir aku di situ, aku sengaja balik lambat. Sempat aku dan dia ucapkan selamat tinggal buat kali terakhir.

Ketika aku sambung belajar, aku akui sengaja aku cuba untuk berhubungan dengan dia. Kami berbalasan email, sms hampir setiap hari. Ada saja kata-kata semangat dari dia. Ya. Ketika itu aku mulai jatuh cinta pada dia. Tapi, tak pernah sekalipun aku luahkan perasaan aku pada dia. 

Langit tak selalunya cerah. Satu hari aku dapat tahu dia dah punyai insan yang dia sayang. Aku. Bohong kalau aku tidak kecewa. Tapi, siapa aku untuk menghukum dia. Dia berjaya miliki seorang gadis yang cantik sesuai dengan dia. Aku cuma mampu mendoakan dan melihat dari jauh betapa bahagianya dia masa tu. Aku melihat betapa gembiranya dia bila kekasih hati membuat kejutan pada hari lahirnya. 

Aku teruskan persahabatan kami seperti biasa. Aku masih menghubungi dia walaupun aku tahu dia tak akan pernah mengetahui perasaan aku padanya. Niat aku waktu tu cukup sekadar kawan. Tidak lebih dari itu. Ya. Aku berhenti untuk menyayangi dia. Walaupun sukar, aku tetap cuba.

Satu hari, aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari dia. Hampir saja dia menangis ketika itu. Dia putus cinta. Satu jam aku mendengar dia meluahkan perasaan sedih hinggakan aku sendiri tidak terkata. Seorang lelaki yang aku sayang dilukai. Hati dia insan yang aku sayang dilukai dengan sedalam-dalamnya. Aku cuma mampu meminta dia bersabar.

Sejak hari itu, kami kembali berkawan baik. Hampir setiap waktu kami berhubungan. Ya. Aku kembali sayangkan dia. Walaupun aku tahu antara aku dan dia mana mungkin ditakdirkan untuk jatuh cinta. Asalkan aku punya seorang sahabat seperti dia dah cukup buat aku bahagia.

Siapa sangka, satu hari aku lafazkan segalanya. Tak pernah aku terfikir untuk meluahkan segala rasa. Hari tu, aku buat pertama kalinya meluahkan isi hati. Malu, segan, takut semua ada. Takut andai dia menolak. Malu andai aku cuma bertepuk sebelah tangan. Tapi, alhamdulillah. Penantian itu berakhir. Rupanya masing-masing punya rasa dalam hati. 

Setahun lebih sudah berlalu. Tak pernah sekalipun aku menyesal kerana memilih dia. Dia insan yang aku sayang sejak dulu. Insan yang aku tak pernah terfikir akan berjaya menawan hati aku. Aku berdoa moga dia yang pertama dan terakhir buat aku. Aku mahu dia jadi sahabat, pelindung dan teman baikku sampai bila-bila. Moga kami sama-sama mampu menjalani apa saja cabaran dan dugaan yang mendatang tanpa ada rasa putus asa. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment